Halaman

Khamis, 24 Januari 2013

BAB 7 : ASAS PERAKAUNAN PENGURUSAN DAN KOS



7.1 Pengenalan kepada perakaunan pengurusan

Kejayaan sesebuah organisasi adalah ditentukan oleh keupayaan dan kecekapan pihak pengurusan. Kerana pihak pengurusan yang bertanggungjawab mencorakkan gaya kepimpinan serta membuat dasar dan keputusan bagi mencapai objektif organisasi. Pihak pengurusan berperanan memastikan perkembangan dan kemajuan organisasi. Organisasi di sini termasuklah firma perdagangan, perkilangan, perkhidmatan agensi kerajaan dan organisasi bukan untung.
Pengurus perlu membuat keputusan yang bijak dalam menangani soal-soal yang berkaitan dengan operasi organisasi. Aspek aspek yang bersangkutan dengan perolehan dan penggunaan sumber organisasi seperti wang tunai, sumber manusia, stok, teknologi, hartanah, peralatan dan pelaburan perlu diuruskan dengan berhemat. Ini adalah kerana setiap keputusan yang dibuat akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung terhadap keuntungan syarikat. Sebagai contoh, pengurus perlu membuat pilihan mengenai barang atau perkhidmatan yang hendak dijual, keluasan pasaran yang ingin ditembusi serta menentukan harga yang kompetitif yang mampu bersaing di pasaran. Juga persoalan bagaimana syarikat akan membiayai aktiviti-aktiviti operasi tersebut. Kesemua persoalan ini memerlukan keputusan yang bijak dan tepat. Untuk membuat keputusan yang baik, pengurus perlu mempunyai maklumat yang lengkap dan terkini mengenai sesuatu perkara. Dalam konteks perniagaan, maklumat berhubung dengan kegiatan ekonomi dan kewangan ini dibekalkan oleh akauntan. Untuk tujuan tersebut akauntan bertanggungjawab menyediakan satu sistem maklumat perakaunan yang lengkap bagi menghasilkan maklumat di atas. Ini termasuklah mengenal pasti, merekod, mengukur, menganalisis, mentafsir, dan menghubungkan maklumat tersebut bagi membantu eksekutif dan pihak pengurusan membuat keputusan dalam memenuhi
matlamat syarikat.
Pengguna maklumat perakaunan terdiri daripada pihak luaran dan pihak dalaman. Pihak luaran ialah mereka yang berada di luar organisasi seperti pemiutang, pemegang saham, dan agensi kerajaan. Mereka tidak terlibat dalam pengurusan sesebuah organisasi tersebut. Manakala pihak dalaman pula ialah mereka yang terlibat secara langsung di dalam pentadbiran dan pengurusan organisasi, iaitu pengarah,pengurus, dan pegawai eksekutif.


MAKLUMAT PERAKAUNAN DAN PENGURUSAN

Pengurus-pengurus perlukan satu sistem maklumat yang boleh mengenalpasti masalah. Apabila masalah telah dapat diketahui, tindakan dapat di ambil untuk mengenalpasti dan menyelesaikan masalah. Maklumat perakaunan boleh membantu mengenalpasti penyelesaiannya. Pengurus bergantung kepada maklumat perakaunan pengurusan untuk merancang dan mengawal organisasi. Oleh itu, mereka perlu tahu bagaimana untuk menggunakannya.

ORGANISASI DAN MATLAMATNYA

Sebuah organisasi boleh didefinisikan sebagai satu kumpulan manusia yang bergabung untuk satu tujuan yang sama. Kolej yang memberikan perkhidmatan pembelajaran merupakan sebuah organisasi sama seperti sebuah firma yang mengeluarkan barangan pengguna. Semua organisasi memerlukan maklumat perakaunan samada organisasi itu adalah organisasi perkilangan,
pengangkutan, begitu juga dengan organisasi berorientasikan untung atau tidak. Oleh itu, pengurus-pengurus haruslah cekap menggunakan maklumat perakaunan. Pemilik, pengarah atau pemegang amanah sesebuah organisasi menetapkan matlamat organisasi untuk memudahkan pengurusan. Adalah menjadi tugas pihak pengurusan untuk memastikan ini tercapai.

Matlamat sesebuah organisasi itu berbeza-beza. Sebahagian dari matlamat organisasi yang biasa dinyatakan adalah:
• Keuntungan
• Meminimakan Kos
• Pelbagaian Pasaran
• Kualiti Keluaran
• Pemimpin Keluaran
• Tanggungjawab Persekitaran











Tiada ulasan:

Catat Ulasan